Browse By

Sikap Islam Mengenai Perlupusan hutang

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

PENULIS begitu teruja dengan laporan akhbar Rabu lalu yang memaparkan hasrat Bank Pertanian untuk melupuskan pinjaman para peminjamnya yang terjejas teruk akibat musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Martini Osman, selain melupuskan baki hutang, antara inisiatif lain yang dicadangkan termasuklah kemudahan pinjaman semula serta lanjutan tempoh pembayaran.

Sesungguhnya sikap sebegini wajar dicontohi oleh seluruh warga institusi perbankan komersial lain terutamanya dalam mengambil kira kepayahan para peminjam dalam membayar balik pinjaman akibat bebanan kerugian yang terpaksa ditanggung selepas mengalami musibah banjir. Malah sikap mengambil peduli terhadap kepayahan pelanggan dan peminjam merupakan suatu manifestasi tanggungjawab sosial yang tinggi yang wajar menjadi ikutan kepada seluruh warga korporat yang berorientasi memaksimumkan keuntungan.

Memang Islam tidak pernah menghalang manusia daripada berusaha mencari keuntungan dan mengumpul kekayaan, tetapi ia juga menagih suatu tanggungjawab sosial yang harus ditunaikan.

Yang dimaksudkan dengan tanggungjawab sosial adalah suatu komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menjayakan setiap agenda nasional dan kemanusiaan. Ia meliputi komitmen tinggi terhadap pembelaan golongan miskin, terlantar dan terbiar serta masalah-masalah kemanusiaan lainnya tanpa terikat dengan kepentingan diri mahupun percaturan untung rugi ekonomi.

Hakikat yang nyata, memberi kelonggaran dalam membayar balik pinjaman hatta melupuskan terus pinjaman yang diberikan merupakan cerminan nilai-nilai tanggungjawab sosial yang menjadi teras dalam prinsip muamalah Islam.

Malah sebagai sebuah agama yang amat menitikberatkan soal keadilan dan kebajikan, Islam sejak dari awal lagi menggariskan pelbagai pendekatan dalam muamalah kewangan yang boleh dimanfaatkan khususnya dalam membantu mereka yang dilanda musibah. Antaranya termasuklah memberikan pengurangan terhadap jumlah hutang perlu dilunaskan peminjam atau melupuskan terus pinjaman tersebut sebagai sedekah.

Dalam al-Quran, Allah jelas menyebut mengenai hal ini: Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) jika kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak). (al-Baqarah: 280).

Dalam kaedah muamalah Islam, memberikan pengurangan terhadap pembayaran balik pinjaman oleh pihak pemberi hutang juga dikenali dengan prinsip yang diistilahkan sebagai dha wa ta`ajjal. Prinsip ini berasaskan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. pada satu hari telah memerintahkan Bani Nadir untuk meninggalkan Madinah. Kemudian baginda dimaklumkan bahawa masih ramai kalangan penghuni Madinah yang berhutang wang dengan mereka. Maka Rasulullah pun bersabda: Berilah pengurangan terhadap hutang tersebut dan permudahkan cara pembayaran. (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Pernah satu ketika seorang sahabat Nabi yang bernama Ka`ab sedang berbincang dengan Ibnu Abi Hadrad mengenai hutangnya yang belum dilunaskan. Perbincangan yang dilakukan di masjid dengan suara yang nyaring itu telah didengari oleh Nabi yang ketika itu berada di rumah baginda. Lalu Nabi memanggil Ka`ab seraya berkata: “Kurangkanlah jumlah hutang tersebut”. Jawab Ka`ab: “Aku sudah pun mengurangkannya”. Dan Nabi terus berkata kepada Ibnu Abi Hadrad, “Bangun dan langsaikanlah hutang kamu” (hadis riwayat al-Bukhari).

Berpandukan ayat al-Quran dan kedua-dua hadis inilah ulama berpendapat bahawa prinsip mengurangkan jumlah hutang yang ditanggung oleh penghutang adalah dibenarkan dan digalakkan dalam Islam. Bahkan, ganjarannya diumpamakan seperti memberi sedekah terutamanya kepada mereka yang berada di dalam kesulitan dan kepayahan lantaran ditimpa bencana atau malapetaka.

Ulama terkemuka seperti Ibnu Qayyim di dalam bukunya I’lam al-Muwaqqi`in turut menegaskan bahawa prinsip dha wa ta`ajjal ini amat jauh berbeza dengan riba. Ini kerana riba ialah sesuatu yang memberi tambahan nilai terhadap hutang sedangkan prinsip dha wa ta`ajjal pula sebaliknya. Riba berlaku apabila terdapat sebarang bentuk penambahan daripada jumlah asal hutang sama ada disebabkan oleh kelewatan dalam melunaskan hutang mengikut tempohnya ataupun tidak.

Sebaliknya prinsip dha wa ta`ajjal yang dibenarkan syarak ialah apabila pemberi hutang memberi diskaun atau pengurangan jumlah hutang yang perlu dibayar oleh penghutang sebagai salah satu insentif bagi mempercepatkan lagi proses melunaskan hutang.

Justeru hasrat Bank Pertanian untuk membantu para peminjamnya yang dilanda musibah banjir ketika ini merupakan usaha murni yang wajar diteladani. Memberi kelonggaran dalam pembayaran mahupun melupuskan terus hutang adalah suatu manifestasi tanggungjawab sosial yang besar maknanya dalam Islam. Moga-moga lebih ramai lagi yang tampil dengan komitmen sedemikian.

Sumber: Mingguan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...