Browse By

Selesaikan Masalah Secara Kreatif

Dalam kehidupan seharian ini sering kali kita menghadapi masalah yang sama dan kadang kala kaedah penyelesaian yang kita gunakan tidak begitu berkesan. Kali ini saya ingin berkongsikan dengan anda teknik untuk berfikir secara analogi yang mungkin dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Teknik ini saya perolehi daripada salah sebuah buku Ainon & Abdullah yang berjudul Teknik Berfikir.


Teknik berfikir menggunakan analogi berguna untuk menyelesaikan masalah apabila kita menghendaki penyelesaian yang berlainan sama sekali dengan penyelesaian yang ada. Teknik ini bukanlah pembaikan daripada teknik yang sedia ada.

Istilah analogi bermakna mengiaskan sesuatu perkara dengan benda lain. Sebagai contoh, sungai dianalogikan dengan ular. Caranya ialah mencari perkara yang ada persamaan antara kedua-duanya. Antara aspek yang boleh dibandingkan ialah ciri-ciri, fungsi atau proses. Di dalam contoh ini, persamaan antara sungai dan ular ialah pada ciri antara kedua-duanya, iaitu bersifat bengkang-bengkok dan lingkaran. Untuk menerbitkan idea baru, caranya ialah dengan memilih mana-mana objek dan bandingkan objek itu dengan masalah yang akan diselesaikan. Sebagai contoh, masalah yang hendak diselesaikan ialah sungai kotor di kawasan bandar. Analogikan masalah ini dengan cincin.

cincin – bulat – dimasukkan pada jari – tersumbat – tarik semula jari – sungai tersumbat oleh sampah dari rumah-rumah di tepi sungai – tarik balik rumah.

  • Bagaimana kalau rumah di tepi sungai ditarik ke tempat lain?
  • Bagaimana kalau orang yang diharamkan membuat rumah di kawasan tepi sungai? Rumah yang sudah ada ditarik dan dirobohkan?
  • Bagaimana kalau mereka dipindahkan?

Ada beberapa kaedah mudah untuk mendapatkan perkataan yang menjadi analogi antaranya:.
1. Ambil kamus dan buka mana-mana halaman. Pilih satu perkataan jenis kata nama untuk dijadikan analogi.
2. Ambil surat khabar dan buka muka surat angka ganjil. Pilih satu perkataan jenis kata nama, jadikan analogi.
3. Tentukan syarat yang akan digunakan untuk memilih objek yang akan dijadikan sebagai analogi. Sebagai contoh, syarat benda merah yang mula-mula dilihat, atau benda panjang atau benda bulat dan sebagainya. Syarat-syarat ini dibuat hanya untuk menolong kita memilih objek analogi. Oleh itu, syarat itu tidak perlu tepat, praktikal atau logikal. Pandang sekeliling anda dan cari objek seperti itu.

Sewaktu memilih analogi, anda tidak perlu menilai sama ada perkataan yang dipilih itu adalah tepat atau tidak. Tujuan kaedah ini adalah untuk merangsang minda anda supaya menggambarkan perkara yang berimaginasi dan liar.

Perkataan yang kelihatan tidak ada persamaan sama sekali pun boleh dipilih. Jika analogi yang dihasilkan kelihatan gila-gila sekali pun masih boleh digunakan. Apa-apa anologi boleh diambil, tidak kira sama ada ia wajar, betul, salah, logikal, praktikal atau tidak siuman. Sesudah memilih analogi itu, cari aspek-aspek yang dapat mengaitkan analogi tersebut dengan masalah yang cuba diselesaikan.

Setelah mendapat kaitan tersebut, cuba terbitkan pula idea daripada perkataan itu. Setelah idea itu terbit, usah peduli untuk menilai idea tersebut. Jangan tanya adakah idea itu praktikal, betul, logik, atau apa saja. Tujuan kaedah ini adalah untuk memasukkan maklumat baru ke dalam masalah yang sedang ditinjau. Ini dilakukan supaya minda terpaksa menyusun semula cara ia berfikir selama ini.

Katakan anda ingin mencari idea baru untuk menjual pisang goreng dengan lebih menarik. Ambil kamus, tutup mata anda dan buka kamus itu. Lihat pada halaman sebelah kanan dan ambil kata nama pertama yang anda jumpa, misalnya perkataan itu adalah udang. Salah satu sifat udang ialah dibuang kulitnya sebelum dimakan. Bagaimana jika pisang itu dibungkus dan bungkusan itu boleh dibuang? Satu lagi ciri udang ialah boleh dimasak dengan cara memanggangnya. Bagaimana jika pisang itu dipanggang? Udang berenang terbalik dengan kepala di bawah, bagaimana pula jika pisang dijual terbalik? Pada masa ini penjual pisang mengoreng pisang, bagaimana jika sekarang, pembeli yang menggoreng pisang itu? Perkaitan seperti di atas membantu minda melihat idea-idea yang lebih konkrit, pratikal dan berfaedah.

Kaedah ini berguna untuk menyelesaikan masalah yang kita tidak berapa jelas tentang puncanya. Sebagai contoh, mengapa penjual pisang goreng tidak ada yang menjadi jutawan? Teknik menyelesaikan masalah ini ialah dengan berfikir secara kreatif.

Sumber: Teknik Berfikir (Ainon & Abdullah)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • http://afham.blogmas.com afham

    penyelesaian masalah hendaklah dipikrkan kesan2 mendatang..

    afham’s last blog post..Aku pro atau anti kerajaan