Browse By

Mencarum Hingga Umur 75 tahun

Baru-baru ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) telah mengumumkan bahawa mulai 1 Februari 2008, sesiapa sahaja yang melanjutkan khidmat di dalam kerjayanya setelah melebihi umur 55 tahun adalah diwajibkan untuk terus mencarum sehingga berusia 75 tahun. Bagaimana pun kadar caruman setelah melebihi umur 55 tahun adalah lebih rendah berbanding kadar semasa iaitu 5.5% caruman pekerja dan 6% lagi caruman daripada majikan.


Keengganan untuk berbuat demikian akan didakwa di bawah Seksyen 43(2) Akta Caruman Simpanan Pekerja yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM 10,000 atau 3 tahun penjara. Tujuan utama lanjutan caruman ini adalah untuk mengalakkan simpanan untuk persaraan disamping ahli dapat manfaat daripada pemberian dividen.

Ketika ini dianggarkan seramai 601,000 ahli KWSP yang berumur melebihi 55 tahun dengan jumlah keseluruhan simpanan sebanyak RM 10.4 billion. Hanya 84,000 daripada jumlah ahli tersebut yang masih berkhidmat. Sasaran KWSP adalah untuk membantu ahli mempunyai simpanan terkumpul sebanyak RM 120,000 sewaktu mencapai usia 55 tahun.

Sedar atau tidak, sebenarnya masih ramai antara kita yang kurang mengambil berat tentang hari persaraan. Mungkin anggapan kita tempoh perkhidmatan masih lagi panjang, maka dengan itu tabiat menyimpan tidak dirasakan begitu penting. Kita tidak dapat menjangkakan keadaan ekonomi negara sewaktu hari persaraan nanti, kerana itu kita harus sedar dan bertindak sesuatu untuk memastikan hari persaraan yang lebih baik. Nilai RM 120,000 sekarang tidak sama dengan nilai RM 120,000 pada 20 tahun akan datang, mungkin kita kena lebih banyak menyimpan atau lebih bijak lagi melabur di tempat yang sepatutnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...