Browse By

Lafaz Yang Memilukan

Nora Danish

Bukan sekali, bukan dua kali, malah sudah berpuluh-puluh kali kita mendengar kisah-kisah penceraian artis sama ada di tanahair kita mahu pun di luar negara. Kita juga sudah tidak lagi merasa terkejut malah mampu tersenyum sinis sebaik terbaca berita-berita penceraian ini di dada-dada akhbar. Adakah ini salah satu kaedah publisiti berkos rendah? Atau suatu trend baru? Trend janda dan duda berhias di alaf baru?

Penceraian bukan sahaja berlaku terhadap artis, malah orang-orang yang kurang dikenali seperti saya juga tidak kurang banyaknya. Pada tahun lalu (2007) sahaja kes penceraian yang dilaporkan adalah sebanyak 20,259 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Saya sendiri kurang pasti mengapa begitu kerap terjadinya penceraian ini. Adakah kerana persediaan daripada segi ilmu yang tidak cukup sebelum berkahwin? Atau modul kursus pra-perkahwinan yang berharga kira-kira RM80 itu tidak berkesan langsung? Atau ada sebab-sebab lain yang lebih munasabah?

Bukan mudah sebenarnya hendak mendirikan rumahtangga, tetapi nampaknya tidak pula susah untuk merebahkannya. Apa pun, nilai moral yang saya dapat ambil adalah JANGAN BERKAHWIN jika anda belum cukup bersedia. Mungkin terdapat sebilangan yang terpaksa berkahwin atas desakkan keluarga, desakkan nafsu atau begitu takut dicap sebagai bujang tua. Bagi saya, alasan-alasan sebegini tidaklah begitu kukuh untuk dijadikan asas membina sebuah rumahtangga yang bahagia.

Keluarga atau sesiapa sahaja boleh mendesak dan memaksa, tetapi yang akan berkahwin dan akan menghadapi susah senang, pahit maung kehidupan setelah berumahtangga adalah diri kita sendiri. Maka dengan itu, adalah menjadi hak kita untuk menentukan bila, dengan siapa, dan bagaimana kita hendak berkahwin melainkan kita sendiri yang pinta dan sanggup dipasangkan dengan pilihan keluarga. Tidak timbul sebenarnya soal derhaka terhadap orang tua jika kita enggan mengikut pilihan mereka, namun restu daripada mereka saya tidak persoalkan.

Sememangnya sudah menjadi lumrah berlakunya konflik yang kadang-kala akan mengugat kesabaran dan keegoaan kita sewaktu menjalani kehidupan berkeluarga ini. Sekiranya kita cukup bijak dan berilmu, konflik yang timbul bukanlah menjadi masalah yang terlalu sukar untuk ditangani. Bagaimana pun hari ini, terbukti ramai sebenarnya yang telah gagal seperti mana statistik yang telah saya nyatakan di atas. Saya percaya ramai yang telah sampai di suatu tahap di mana mereka merasakan kembali hidup bersendiri adalah lebih baik daripada terpaksa makan hati berulam jantung atau terus hidup terkongkong.

Saya tidak mengatakan bahawa perkahwinan itu tidak perlu, tidak penting dan berisiko. Bagi yang nafsunya membuak-buak dan berkemampuan serta sedia memikul tanggungjawab sememangnya wajib untuk segera berkahwin. Tetapi bagi yang masih belum bersedia, makan minum pun masih tidak menentu, perangai kebudak-budakkan pun masih menebal, lebih baik tangguhkan dulu niat murni tu. Belajar dulu cara untuk bersabar dan pupuk sifat kematangan serta tanggungjawab dalam diri. Pastikan juga pasangan anda turut berilmu supaya anda tidak susah untuk membentuknya selepas berkahwin nanti.

Saya turut setuju apabila ada orang mengatakan perkahwinan itu ibarat satu perjudian. Risikonya apabila anda tersalah pilih maka anda rugi, jika berlaku sebaliknya maka anda akan beroleh keuntungan. Namun andainya anda seorang kaki judi sekali pun, janganlah menjadi kaki judi yang tidak berilmu nanti semuanya habis tergadai dan anda pula menjadi gila!.

P/s: Jika berminat, anda boleh dapatkan sedikit ilmu perkahwinan disini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • siti nazratul

    ermm…bercinta pon ssh,apalagi kawin

  • http://megat.net megat

    sebenarnya aku rasa apa yang patut didedahkan ialah kehidupan semasa alam perkahwinan. kebanyakkan pasangan masih tidak nampak gambaran sebenar selepas akad nikah. mereka hanya membayangkan kebahagiaan yang bakal dikecapi, tidak bersedia hadapi keseluruhan alam rumahtangga.

    megats last blog post..Jutawan : Siapa Mentor Anda?