
Saya yakin ramai mengetahui mengenai pilihan raya umum kali ke 12 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri tidak berapa lama lagi. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pilihan raya merupakan suatu event yang boleh dianggap paling kritikal kerana melibatkan masa depan negara. Pilihan raya seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Disebabkan penggal 5 tahun itu boleh dianggap suatu tempoh yang panjang, maka secara rasional kita sepatutnya tidak akan melepaskan peluang untuk membuang undi, betul tak?.
Pelbagai isu panas dan cerita-cerita sensasi yang dapat kita dengar dan lihat sebelum berlakunya pilihan raya, dan sebagai pengundi yang bijak kita seharusnya lebih berpendirian serta mampu membuat penilaian sendiri berdasarkan pelbagai sudut sebelum membuat keputusan memilih bakal peneraju negara untuk penggal akan datang. Perang mulut dan psikologi di kalangan penyokong-penyokong parti politik yang terlibat merupakan lumrah yang tidak perlu kita hairankan lagi. Ketahuilah bahawa undi anda adalah sangat-sangat berharga ketika pilihan raya, kerana pada hari itu anda berkuasa penuh untuk memilih dan memangkah. Jadi, pastikan kuasa itu digunakan dengan sebaiknya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.
Ada 10 sebab mengapa anda perlu mengundi:
1. Sebagai rakyat, mengundi adalah hak istimewaan yang diberikan kepada anda di dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
2. Dengan mengundi sebenarnya menunjukkan keprihatinan anda kepada negara demi masa depan anak cucu anda.
3. Sebagai orang Islam, sudah menjadi tanggungjawab atau amanah kepada anda untuk memilih pemimpin Islam yang mampu memimpin negara dengan baik demi kesejahteraan umat Islam. InsyaAllah anda diberikan pahala di atas tindakan anda ini.
4. Dengan mengundi anda akan membantu calon yang anda yakin mampu menjalankan tugasnya sebagai pemimpin dengan baik untuk terpilih.
5. Ajal maut ditangan tuhan, jika anda tidak mengundi sekarang kemungkinan anda tidak berpeluang lagi untuk mengundi di masa depan.
6. Mengundi bukanlah perkara yang sukar dan memerlukan wang ringgit, anda cuma perlu memangkah dengan tanda ‘X’ di atas kertas undi bagi calon yang anda ingini, lipat kertas undi tersebut dan masukkan ke dalam peti undi, itu sahaja.
7. Jika anda pernah mendengar bahawa undi bukan rahsia, kenapa anda mahu kisahkan sangat. Anda telah percaya dan yakin pada seseorang pemimpin kenapa perlu malu untuk mengaku bahawa anda telah memilihnya?
8. Sewaktu hari mengundi juga anda berpeluang berkumpul dan bertemu rakan-rakan lama kerana pengundi biasanya akan mengundi di alamat tetap yang selalunya di kampung sendiri.
9. Mengundi merupakan sebab yang kukuh untuk mengambil cuti.
10. Pilihan raya ke 12 merupakan pilihan raya yang pertama menggunakan peti undi lut sinar dan penggunaan dakwat indelible.
Pilihan raya kali ini merupakan kali dua bagi saya, dan peluang ini insyaAllah tidak akan saya lepaskan melainkan ada aral melintang yang tidak dapat dielak. Anda juga mungkin pernah mengundi sebelum ini, dan saya sarankan supaya anda dapat terus melaksanakan tanggungjawab ini. Bagi yang belum pernah mengundi dan belum berdaftar silalah berbuat demikian. Lawati laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk maklumat lanjut dan semak tempat mengundi masing-masing, pastikan nama anda telah tersenarai sebelum bermulanya pilihan raya. Akhir kata daripada saya, kita jumpa di pilihan raya!