Browse By

JPJ Hanya Terima Laporan Lulusan Ijazah

Saya agak hairan dengan kenyataan di dalam Utusan Malaysia hari ini yang menyatakan orang awam lulusan setaraf dengan penjawat awam Kumpulan A iaitu sekurang-kurang memiliki Ijazah Sarjana Muda diberi kuasa untuk membuat laporan kesalahan lalu lintas kepada JPJ. Adakah ini bermaksud lulusan diploma, sijil atau tiada berlulusan langsung tidak layak membuat laporan?

Saya masih tidak jelas dengan alasan JPJ untuk menghadkan pelapor kepada yang berkelulusan tinggi sahaja dan kemudian mempersoalkan pula penjawat awam Kumpulan A yang tidak membuat laporan. Secara peribadi saya merasakan tindakan ini adalah tidak wajar kerana mempertikaikan kemampuan orang awam lain yang berkelulusan lebih rendah daripada Kumpulan A untuk membuat laporan terhadap kesalahan lalu lintas yang mereka saksikan sendiri.

Kesalahan lalu lintas: Penjawat awam Kumpulan A diberi kuasa

MACHANG 8 Feb. – Orang awam yang memiliki kelulusan setaraf dengan penjawat awam daripada Kumpulan A akan diberi kuasa untuk membuat laporan berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi talian terus atau e-mel kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, kerjasama orang awam itu amat penting kerana ia sekurang-kurangnya dapat membantu pihaknya membuat tindakan susulan bagi membendung kemalangan maut daripada terus berlaku di jalan raya.

Menurut beliau, mereka boleh membuat aduan terus Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya menerusi telefon 03-88866412 atau menulis e-mel kepadanya sendiri di alamat: http://www.tkpjpj.com.my.

“Pengaduan mesti disertakan dengan maklumat lengkap termasuk jenis kenderaan, nombor pendaftaran, waktu kejadian, lokasi dan jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika menyertai Ops

Sikap 16 JPJ Kelantan di Labok, dekat sini malam tadi.

Solah berkata, sebaik menerima aduan pihaknya akan memanggil pemilik kenderaan terbabit untuk disoal siasat dan mereka akan diberi tempoh selama tiga minggu untuk hadir di mana-mana pejabat JPJ berdekatan bagi menyelesaikan dakwaan sebagaimana yang dimaklumkan oleh pelapor.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, satu surat saman akan dikeluarkan kerana ‘ingkar perintah’ dan kenderaan mereka akan disenarai hitamkan daripada membuat sebarang urusan termasuk pembaharuan cukai jalan,” katanya.

Solah berkata, maklumat orang awam seperti ini amat diperlukan oleh JPJ memandangkan kerjasama daripada penjawat awam dari Kumpulan A sehingga kini masih gagal berfungsi sebagaimana yang diharapkan.

Beliau berkata, langkah ini boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan yang semakin membimbangkan dan tertinggi berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini.

Jelas beliau, jumlah 1,500 anggota penguat kuasa yang ada di seluruh negara tidak mampu mengawal jumlah pergerakan 16 juta kenderaan yang berada di jalan raya terutamanya sepanjang musim perayaan.

“Seperti mana kerjasama orang ramai kepada pihak polis dalam usaha membendung jenayah, begitulah juga diperlukan oleh JPJ dalam usaha mengekang kejadian kemalangan maut daripada terus meningkat,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...