Browse By

Cara Mudah Menerima Bayaran Kad Kredit Di Internet

oleh Zamri Nanyan

Jika anda perhatikan dengan teliti, perkhidmatan penerimaan bayaran kad kredit menjadi satu keperluan sekiranya anda mula menjual produk di internet, terutamanya bila anda mula menjual produk anda pada pasaran antarabangsa.

Sekiranya anda tidak menggunakan perkhidmatan penerimaan bayaran melalui kad kredit, anda akan kehilangan beberapa peratusan pembeli yang bakal menjadi pelanggan anda. Tetapi bagaimana anda boleh mendapatkan perkhidmatan penerimaan bayaran kad kredit ini?

Baiklah, sebelum saya jawab soalan tersebut, mari kita renung satu kandungan emel yang saya terima.

Ianya datang daripada sebuah syarikat tempatan yang baru bertapak di dalam perniagaan internet. Jelas sekali perkhidmatan yang mereka tawarkan ialah sistem pemprosesan bayaran kad kredit. Kos permulaan untuk menggunakan perkhidmatan mereka ialah RM5,000 dan saya kurang pasti sekiranya ada kos tambahan atau bulanan.

Walaupun syarikat ini baru, saya rasa baik saya lawati laman web mereka. Produk tempatanlah katakan. Jadi, kalau kena caranya, mengapa tidak? Mungkin saya boleh pertimbangkan untuk memberi sokongan.

Namun, selepas melawati laman web syarikat ini, saya sedikit kecewa.

Kenapa?

Sebab laman web ini belum siap sepenuhnya. Ouch! Beberapa pautan (link) yang penting mempunyai “error message” dan maklumat lanjut mengenai syarikat ini pun tidak boleh diperolehi daripada laman web mereka.

Hmmm… saya terus ambil keputusan yang syarikat ini mungkin belum bersedia lagi untuk bersaing di bidang perkhidmatan penerimaan bayaran kad kredit. Buat pengetahuan anda, saya memang cerewet sedikit apabila memilih perkhidmatan penerimaan bayaran kad kredit ini. Ini penting kerana anda perlukan sekuriti yang tinggi apabila melibatkan pembayaran kad kredit. Jika laman web syarikat pun tidak memberikan impresi yang baik, agak sukar untuk saya meletakkan kepercayaan terhadap servis yang ditawarkan.

Di antara kriteria yang anda perlu pertimbangkan untuk melanggan perkhidmatan penerimaan bayaran kad kredit adalah seperti berikut:

* Berapakah kos atau yuran yang perlu dikeluarkan? Adakah sekali sahaja atau bulanan?
* Berapakah caj yang dikenakan bagi setiap transaksi kad kredit?
* Adakah syarikat perkhidmatan penerimaan bayaran kad kredit ini mempunyai reputasi (track record) yang baik.
* Apakah masalah yang dihadapi oleh peniaga yang menggunakan perkhidmatan mereka sebelum ini?
* Siapakah yang menguruskan syarikat tersebut?
* dan beberapa perkara lagi.

Jadi, untuk syarikat yang saya bincangkan di sini, saya batalkan hasrat saya untuk mengetahui servis yang mereka tawarkan dengan lebih lanjut.

Selama ini saya menggunakan beberapa servis penerimaan bayaran kad kredit antarabangsa dan saya rasa mungkin belum masanya saya mencari perkhidmatan yang baru.

Sekiranya berminat untuk menambahkan fasiliti penerimaan bayaran kad kredit di laman web anda, berikut adalah perkhidmatan yang saya guna dan syorkan.

* 2Checkout.com – yuran USD$49 sekali sahaja dan anda boleh gunakan servis ini untuk menjual barangan fizikal dan digital. Mempunyai sistem affiliate sendiri. Caj 5.5% + $0.45 USD daripada setiap nilai jualan dikenakan.

* ClickBank.com – yuran pengaktifan USD$49.95 sekali sahaja tetapi usahawan internet Malaysia mempunyai sedikit masalah untuk menggunakan servis mereka. Ebook “Missing Chapter” ada membincangkan masalah ini. Mempunyai sistem affiliate sendiri dan cuma membenarkan peniaga menjual barangan digital sahaja. Caj 7.5% + $1 USD daripada setiap nilai jualan dikenakan.

* PayPal.com – percuma dan sekarang anda boleh mengeluarkan wang dari PayPal anda terus ke dalam kad kredit Visa anda. PayPal memang banyak digunakan kerana ianya percuma tetapi pada masa yang sama, terdapat juga masalahnya yang tersendiri. Tidak mempunyai sistem affiliate sendiri tetapi anda boleh gunakan service dari PayDotCom.com untuk tujuan pemasangan sistem affiliate. Caj 2.9% + $0.30 USD daripada nilai jualan dikenakan.

Ketiga-tiga servis di atas telah saya gunakan bertahun-tahun lamanya. Anda juga boleh pertimbangkan perkhidmatan yang diberikan di atas untuk kemudahan pembayaran pembelian produk yang anda jual di Internet.

Mengenai Penulis

Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet. Lawati laman web beliau di http://www1.BisnesDigital.com untuk mengenali Zamri Nanyan dengan lebih dekat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...