Apakah juadah anda sewaktu berbuka? murtabak ayam? kebab daging? ayam percik? mee bandung? nasi kukus ayam dara berempah? hmm… sebelum berbuka, apa-apa saja yang terlintas di mata dan di fikiran memang mengiurkan, ditambah pula dengan aroma masakan yang semerbak pasti mencabar keimanan kita. Bak kata orang tepuk dada, tanya selera bukan begitu? Kadang kala tertanya-tanya juga kenapalah begitu banyak sekali makanan yang kelihatan sewaktu bulan puasa ini, tetapi tiba-tiba ghaib pada bulan lain.
Walau apa pun juadah berbuka anda, saya minta anda pastikan kali ini anda tidak lupa untuk menjamah kurma @ tamar. Jamahlah walau hanya sebiji cuma. Kenapa? Mari kita lihat 10 sebab mengapa anda perlu menjadikan kurma sebagai salah satu juadah anda terutama di bulan Ramadhan ini.

- Kurma adalah buah dari tumbuhan palma yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin.
- Dari segi saintifiknya dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.
- Penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.
- Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.
- Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.
- Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.
- Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga.
- Khasiatnya terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak.
- Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
- Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.
Oleh kerana kurma mempunyai khasiat yang begitu baik untuk tubuh badan serta mampu memberi tenaga sepanjang hari, kenapa tidak kita mengamalkannya. Bukankah nabi junjungan kita sendiri menjadikan kurma atau tamar sebagai juadah utama ketika berbuka. Jadi, jom makan kurma!